SIMPANAN PELABURAN

Mula menyimpan dari awal. Jangan menunggu sehingga waktu yang sesuai. Lebih awal anda mula menyimpan, lebih banyak wang simpanan anda. Cuba simpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan setiap bulan sebelum berbelanja. Tingkatkan simpanan anda setiap kali pendapatan anda bertambah, contohnya, apabila anda menerima bonus. Simpan wang anda dalam akaun simpanan tetap. Dengan faedah yang lebih tinggi berbanding akaun simpanan, wang simpanan anda akan bertambah dengan lebih cepat.


Simpan sebelum anda berbelanja bukan sebaliknya. 

Kebanyakan orang melakukan ini:
PENDAPATAN – PERBELANJAAN = SIMPANAN/ PELABURAN

Anda sepatutnya melakukan ini:
PENDAPATAN – SIMPANAN/ PELABURAN =PERBELANJAAN


Dengan cara ini, anda pasti dapat menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diperolehi setiap bulan.



Anda boleh meningkatkan kekayaan anda melalui pelaburan jika anda melabur secara berhemat. Jenis pelaburan yang dipilih adalah bergantung kepada tujuan anda melabur, jadi kenalpasti matlamat pelaburan anda. Tanyakan diri anda:
• Apakah matlamat saya? Apakah yang saya ingin capai melalui pelaburan ini?
• Bagaimanakah tahap risiko yang saya sanggup hadapi?
• Adakah saya memerlukan wang dalam masa terdekat?
• Adakah saya tahu bagaimana pelaburan ini dilakukan bagi membolehkan saya memantau    perkembangannya dengan lebih berkesan?


Kenalpasti tahap risiko dan pulangan sesuatu produk pelaburan sebelum melabur. Pulangan yang tinggi mempunyai risiko yang tinggi. Sekiranya anda tidak bersedia untuk menanggung risiko, jangan melabur. Berwaspada terhadap produk pelaburan yang menjanjikan pulangan yang amat tinggi, contohnya produk yang memberi pulangan lebih tinggi daripada kadar pasaran. Ini dapat menghindari diri anda daripada skim pelaburan palsu.

No comments:

Post a Comment