Monday, 20 April 2015

Urus langsai hutang


>> Beban hutang mungkin akibat terlebih belanja, ditipu kawan, perbelanjaan pasangan

Selesai sesi temuramah dengan Ketua Komunikasi Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohamad Khalil Jamaldin di pejabatnya Isnin lalu, penulis terserempak dengan sepasang suami isteri di pintu masuk lif.

Sekali pandang, tidak ada yang aneh pada penampilan mereka. Berpakaian santai sama seperti pengunjung Maju Junction Mall yang lain.

Begitupun, si suami nampak tidak selesa. Pandangan matanya dibuang ke kiri dan kanan seolah-olah semua yang lalu memandangnya dari atas ke bawah.

Dalam sibuk berbual, Mohamad Khalil sempat menyapa mesra pasangan berkenaan dan bertanya hala tuju mereka.

Jawapan yang diberi pendek iaitu ‘Tingkat 8, AKPK’. Itupun dalam nada rendah seperti orang melakukan kesalahan besar.

Serentak itu Mohamad Khalil menepuk-nepuk bahu si suami. Bagus, pujinya bersungguh-sungguh. Terukir senyum manis pada raut kelar si isteri.

Barangkali malu bila niatnya ke AKPK diketahui orang lain. Apalagi masyarakat sendiri mudah membuat kesimpulan, kononnya yang datang mendapat khidmat menanggung hutang berjela.

Kata Mohamad Khalil, orang ramai tidak seharusnya malu kerana bukan semua yang datang ke agensi itu menanggung beban hutang akibat sikap boros sendiri.

“Tak usah malu untuk mendapatkan khidmat nasihat AKPK. Kita menawarkan bantuan percuma kepada semua individu yang memerlukannya.

“Majoriti pelanggan kami adalah individu berhutang, namun masing-masing ada kisah dan cerita tersendiri.

“Ada yang terlebih belanja, ada yang ditipu rakan, ada juga yang menangis kerana menanggung beban pasangan. Pokok pangkalnya, AKPK sedia membantu,” katanya.

Menyelak statistik terbaru, Mohamad Khalil berkata, sejak AKPK ditubuhkan pada 2006 hingga Januari lalu, seramai 252,256 individu telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling kewangan mereka.

“Daripada jumlah itu, seramai 102,385 individu dibantu menerusi Program Pengurusan Kredit (PPK).

“Hasilnya, 4,806 kes berjaya diselesaikan dengan jumlah hutang mencecah RM189.6 juta,” katanya.

Menurut Mohamad Khalil, faktor utama yang menyumbang kepada masalah hutang dalam kalangan masyarakat hari ini disebabkan tiada perancangan kewangan serta tidak tahu menguruskan perbelanjaan harian.

“Umpamanya, orang muda sekarang semua mahukan kereta. Mereka fikirkan bayaran bulanan kepada pihak bank, tapi lupa mengenai kos sampingan yang perlu ditanggung seperti petrol, bayaran latak kenderaan, tol, servis bulanan, cukai jalan dan insurans.

“Apabila kereta idaman berjaya dimiliki, barulah mereka rasa beban hutang hingga terpaksa mencari saluran kewangan lain untuk menampung perbelanjaan.

“Akibatnya, jumlah hutang meningkat dan mereka berdepan risiko muflis pada usia muda,” katanya.

Lain pula cerita yang didengar ketika penulis melewati kaunter pendaftaran AKPK.

Salah seorang kaunselor AKPK menyapa Mohamad Khalil sambil mengajukan beberapa pertanyaan berkaitan pelanggannya.

Kata kaunselor itu, pelanggannya adalah seorang wanita yang mempunyai seorang anak.

Ibu muda itu datang merujuk masalah hutang bernilai RM50,000 yang dipinjam daripada bank untuk menampung perbelanjaan kenduri kahwin kedua pihak beberapa tahun lalu.

Sedihnya, pinjaman itu dibuat sang isteri untuk meringankan beban suami, namun akhirnya jodoh terhenti di tengah jalan.

Perkahwinan yang dibina terlerai, rumah tangga hancur punah, janji yang diikat juga hilang ditelan angin.

Tambah pedih apabila bekas suami tidak mahu berkongsi beban dan meninggalkan wanita berkenaan terkapai-kapai menanggung hutang.

“Itulah realiti kehidupan hari ini. Bukan tidak boleh berhutang, tapi kena pandai mengurus dan merancang kewangan.

“Tidak wajar seorang suami atau ibu bapa membebankan isteri dan anak-anak dengan hutang. Setiap yang dipinjam itu perlu diselesaikan.

“Walaupun pinjaman dibuat diatas nama isteri, tapi biarlah suami dan bekas suami mengambil sikap tanggungjawab,” katanya.

Selain itu, Mohamad Khalil turut menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin supaya memeriksa kedudukan kewangan masing-masing bagi mengelak timbulnya konflik di kemudian hari.

“Kita bukan hendak menghalang niat pasangan berkahwin, tapi biarlah ketelusan dalam soal kedudukan kewangan itu ada kerana ia boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga,” katanya.

Individu yang masih malu untuk memulakan langkah ke AKPK boleh mencuba tutorial di Portal Pembelajaran Online AKPK di laman http://power.akpk.org.my

Pendidikan kewangan
Pendidikan kredit dan kewangan adalah jawapan bagi kebanyakan masalah kewangan masa kini. Inilah matlamat AKPK untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan pendidikan yang dirangka khas untuk membantu individu supaya mereka dapat mengawal kedudukan kewangan mereka.

Ia juga bagi mendapatkan ketenangan daripada penggunaan kredit yang bijak.

AKPK menyediakan bahan-bahan pendidikan kewangan mengenai penggunaan kredit yang wajar dan pengurusan wang asas selain tip-tip berkaitan penggunaan kredit secara berhemah.

Program pendidikan kewangan ini disasar kepada individu atau kumpulan melalui pelbagai aktiviti seperti sesi taklimat kepada agensi-agensi kerajaan, badan korporat, kolej dan universiti, pameran, bengkel dan seminar.

Matlamat AKPK ialah memastikan warga Malaysia berdaya tahan dan berhemah menguruskan kewangan mereka.

Jadual Kaunseling
Perkhidmatan kaunseling boleh didapati di semua cawangan AKPK setiap Isnin hingga Jumaat, kecuali cawangan Kota Bharu dan Kuala Terengganu (Ahad hingga Khamis) dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Bagi cawangan Kuala Lumpur, perkhidmatan kaunseling disediakan setiap hari Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang untuk individu yang membuat tempahan temujanji saja. Pejabat AKPK ditutup pada cuti umum.

Sila hubungi talian POWER! Infoline untuk maklumat lanjut.

Pengurusan Kredit
Kawal semual kehidupan dan bebanan kredit anda. Menerusi program pengurusan kredit, kaunselor AKPK bekerjasama dengan anda untuk menyediakan pelan pembayaran semula pinjaman secara peribadi melalui rundingan dengan penyedia perkhidmatan kewangan anda.

AKPK tidak menyediakan pinjaman atau pembiayaan kewangan.

Program pengurusan kredit ini disediakan untuk mereka yang memerlukan bantuan mengurus bebanan kredit dengan institusi kewangan yang dikawal selia Bank Negara.

Syarat diperlukan ialah anda mempunyai sumber pendapatan positif, jumlah pinjaman tidak melebihi RM2 juta dan tidak berada di bawah tindakan mahkamah atau diisytiharkan muflis.

Penyedia perkhidmatan kewangan terdiri daripada:
• Bank perdagangan
• Bank Islam
• Pengendali takaful
• Institusi kewangan pembangunan (dikawal selia Bank Negara)
• Pengeluar kad kredit

No comments:

Post a Comment