Monday, 20 April 2015

Laporan perbelanjaan


>> Catatan aliran keluar masuk pantau belanja berlebihan

Setiap kali mendapat gaji bulanan, hampir 70 peratus pendapatan digunakan untuk membayar hutang dan perbelanjaan tetap bulanan. Hanya 30 peratus digunakan untuk menampung kos sara hidup bulanan.

Bagi mereka yang bekerja dan hidup di bandar besar dengan kos sara hidup yang tinggi seperti Kuala Lumpur, baki daripada pendapatan itu perlu diuruskan secara bijak.

Bagaimanakah cara terbaik menguruskan kewangan dalam keadaan yang serba mahal? Disediakan 10 cara terbaik amalan berbelanja secara berhemah bagi membolehkan anda dapat hidup dengan selesa di bandar.

Putuskan hubungan dengan TV anda
Sekiranya anda melanggan pakej televisyen satelit berbayar, inilah masanya anda menilai semula langganan itu. Mungkin anda boleh memilih pakej yang paling minimum bayarannya. Atau anda boleh batalkan langganan dan tonton rancangan kegemaran secara dalam talian.

Rekod perbelanjaan anda
Sebelum mula berjimat, anda perlu tahu apa dan berapakah nilai perbelanjaan anda. Rancang kewangan dengan menentukan nilai perbelanjaan anda dan kemudian tentukan berapa jumlah simpanan. Rancangan ini membantu anda menentukan aliran keluar wang dan jumlah simpanan yang sepatutnya diketepikan.

Gunakan pengangkutan awam
Jika lokasi dari rumah ke tempat kerja tidak jauh, anda boleh berjalan kaki atau gunakan basikal. Jika jauh, cuba gunakan kenderaan awam. Anda pasti akan terperanjat dengan jumlah penjimatan bulanan anda bagi kos pengangkutan. Pasti lebih jimat jika anda dapat mengelak kos petrol, tempat letak kereta, tol dan juga belanja penyelenggaraan kereta anda.

Bancuh air sendiri
Sekiranya anda tidak boleh teruskan hidup tanpa kafein dan teh di kafe, ubah amalan itu. Optimumkan kemudahan ruang pantri di pejabat anda dengan membancuh air sendiri. Beli kopi, teh, gula dan susu. Bancuh sendiri, lebih murah, jimat dan kurangkan masa anda minum di kafe.

Bawa bekal
Mulakan membawa bekal makan tengah hari ke pejabat. Jika secara purata anda membelanjakan RM10 sehari untuk makan tengah hari, anda boleh jimatkan lebih kurang RM200 bagi satu bulan (20 hari bekerja). Ini bernilai RM2,400 setahun, satu motivasi yang cukup penjimatan.

Semak semula langganan
Semak semula langganan anda. Sekerap mana sebenarnya anda pergi ke gimnasium? Betulkah anda perlukan data yang banyak untuk telefon bimbit anda? Langganan sebegini mempunyai kos tersembunyi dan memerlukan komitmen.

Pastikan anda hanya melanggan barangan atau perkhidmatan yang diperlukan sahaja.

Pilih kad kredit sesuai
Bagaimana penggunaan kad kredit anda? Jika anda sering tidak membuat pembayaran penuh, carilah kad kredit dengan kadar faedah terendah serta tiada yuran tahunan.

Jika anda membayar jumlah penuh setiap bulan, dapatkan kad yang mempunyai program ganjaran terbaik. Perkara yang paling penting untuk anda ingat ialah gunakan kad kredit secara berhemah. Bayar bil tepat pada masanya untuk elak daripada bayaran caj tambahan.

Pembayaran terus
Individu yang pelupa atau tidak teratur cenderung terlepas membayar bil tepat pada masanya. Pertimbangkan untuk melakukan pembayaran bil secara terus untuk elakkan yuran bayaran lewat. Tetapkan arahan akaun bank anda untuk membayar bil secara automatik.

Jangan tunggu sehingga saat terakhir dan berdepan risiko dikenakan caj bayaran lewat kerana penalti akan dikenakan bagi setiap kelewatan.

Pertimbangkan hiburan anda
Daripada anda keluar dan membelanjakan ratusan ringgit untuk makanan dan minuman serta tiket wayang, anjurkan pertemuan di rumah. Jemput kawan menonton filem atau cuma bersantai dan berborak dengan minuman. Jika anda perlu keluar, rancangkan tempat berkumpul di sebuah restoran yang menawarkan tawaran diskaun untuk kad kredit anda.

Bandingkan
Jika anda sering membeli barangan sama dari kedai sama, berhenti sekarang. Untuk jimatkan wang, selalu bandingkan harga barangan di beberapa kedai dan dapatkan harga termurah. Sesetengah barangan mungkin mempunyai diskaun di satu kedai tapi tidak di kedai lain. Tentukan barangan yang anda sering beli dan selalu perhatikan nilai yang ditawarkan.

Program Kemasyarakatan


AKPK menyediakan bimbingan pendidikan kewangan dengan menyasarkan semua pihak terutama mereka yang terbabit secara terus dalam bidang pendidikan, pekerjaan mahupun latihan.

Kerjasama pintar pihak AKPK dengan pelbagai organisasi dan persatuan memberi tumpuan kepada isu masyarakat yang direka khas untuk memberi manfaat kepada mereka, sebagai perancang kewangan bijak.

Antara contoh organisasi yang bekerjasama dengan AKPK ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi modul Pengurusan Kewangan Peribadi (PFM) dalam kursus perkahwinan dan mengadakan ceramah sebelum solat Jumaat dalam isu kewangan serta kaitannya dengan ajaran Islam.

Selain itu, agensi turut menyediakan latihan, pendidikan, bantuan dan aktiviti kesedaran kewangan kepada pusat agama dan komuniti, persatuan pengguna serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Uji diri
Jika seseorang individu tidak berkesempatan mengikuti kursus, masih boleh mendapat pengetahuan mengenai cara menguruskan kewangan dengan mudah menerusi laman sesawang AKPK sendiri.

Anda boleh menguji diri dengan membuat pengiraan sendiri bagi mengetahui tahap kesihatan kewangan. Ini kerana mesin pengira kewangan boleh membantu anda mengira perbelanjaan setiap bulan untuk kereta mahupun rumah impian.

Anda boleh mencontohi kejayaan individu lain yang berjaya mengawal hutang dalam Kisah Kejayaan daripada AKPK.

Justeru, ambil langkah menguruskan kewangan, mengikut kesenangan, kemudahan, dan cara sendiri dengan sedikit bantuan daripada AKPK. Jika anda mempunyai hutang yang tidak terurus, anda tidak keseorangan.

Membuat pinjaman rumah


>> Kriteria penting perlu diketahui, difahami

Untuk kebanyakan orang, memilih pinjaman rumah adalah susah, hampir seperti memilih rumah itu sendiri. Jika sedang mencari pinjaman rumah untuk membeli rumah idaman, ada beberapa perkara yang perlu diteliti.

Ketua Pegawai Eksekutif iMoney, Lee Ching Wei berkongsi enam perkara yang patut dipertimbangkan sebelum membuat satu keputusan kewangan yang mungkin paling penting dalam hidup anda.

Jenis pinjaman rumah
Pertama sekali, pertimbangkan apa yang sesuai untuk anda: Pinjaman Tradisi Berjangka atau Pinjaman Rumah Fleksibel (Pinjaman-Fleksi).

Pinjaman Tradisi Berjangka memerlukan anda untuk membayar jumlah tetap setiap bulan sepanjang tempoh pinjaman rumah anda (contoh, 30 tahun) sementara Pinjaman-Fleksibel memberi anda pilihan untuk mengurangkan faedah pada bila-bila masa yang anda mahu (contoh dengan menyimpan lebihan wang ke akaun semasa yang berkaitan. Semakin banyak anda simpan, semakin kurang faedah yang dibayar).

Jika mempunyai corak aliran wang yang mudah dijangka dan ketat, Pinjaman Tradisi Berjangka mungkin pilihan terbaik. Jika lebih menggemari fleksibiliti dalam pembayaran pinjaman anda, Pinjaman-Fleksibel adalah disarankan.

Kadar Faedah
Seperti mana dengan semua pinjaman, keutamaan anda adalah bank yang menawarkan kadar faedah terendah. Merujuk kepada contoh yang digunakan sebelum ini, untuk pinjaman rumah sebanyak RM500,000 dalam tempoh 30 tahun, perbezaan faedah di antara kadar faedah 4.2 peratus dan 4.15 peratus boleh menjadi lebih daripada RM5,000.

Margin pembiayaan
Ia bermaksud berapa banyak anda boleh pinjam.

Ini bergantung kepada pelbagai faktor termasuk nilai rumah dan kedudukan anda dengan bank. Setiap bank menawarkan margin pembiayaan yang berbeza.

Anda diperlukan membayar mana-mana amaun yang tidak termasuk dalam pendahuluan pinjaman rumah, ini adalah amat penting lebih-lebih lagi apabila anda kekurangan wang.

Sebagai contoh, untuk rumah bernilai RM500,000, anda akan memerlukan RM100,000 sebagai pendahuluan jika margin pembiayaan adalah 80 peratus, tetapi hanya perlu membayar RM50,000 sebagai pendahuluan jika margin pembiayaan adalah 90 peratus.

Tempoh berkunci
Tempoh berkunci adalah jangka masa di mana anda akan dikenakan penalti (selalunya 2 hingga 3 peratus daripada jumlah pinjaman), jika memilih untuk membayar penuh pinjaman rumah sebelum ia mencapai tempoh tamatnya.

Apabila memilih pinjaman rumah, ia berbaloi untuk mempunyai tempoh berkunci sesingkat yang boleh dan penalti serendah yang boleh.

Sesetengah bank juga tidak mengenakan penalti sama sekali jika notis lengkap diberikan. Sebagai permulaan, anda mungkin ingin membuat perbandingan tempoh berkunci antara semua bank di iMoney.

Yuran dan caj
Permohonan pinjaman rumah membabitkan urusan profesional dan proses yang dikawal selia kerajaan seperti persediaan dan pembayaran perjanjian pinjaman, pembayaran duti setem dan pemprosesan oleh bank.

Semua proses ini selalunya disertakan yuran dan caj yang akan ditanggung oleh anda, sebagai pembeli. Dalam kes tertentu, ia juga boleh ditanggung penuh atau separuh oleh bank sebagai sebahagian daripada pakej pinjaman anda.

Oleh itu, lebih baik berjumpa dengan pegawai pinjaman dan minta mereka menerangkan mengenai semua yuran dan caj kepada anda. Ia mungkin satu proses yang berulang dan memakan masa tetapi ia akan menjadi masa yang digunakan dengan sebaiknya.

Bank
Fahami yang anda akan selalu berurusan dengan bank selagi pinjaman rumah masih berjalan (yang mungkin mengambil masa 20 hingga 30 tahun).

Dengan itu sebagai peringatan, anda patut memilih bank yang anda selesa untuk berurusan. Sesetengah perkara yang anda mungkin ingin fikirkan termasuk:
• Adakah mempunyai akaun simpanan atau semasa dengan bank tersebut (untuk kemudahan pemindahan antara akaun)?
• Adakah puas hati dengan perkhidmatan mereka?
• Adakah terdapat cawangan tempatan yang berdekatan dengan rumah atau pejabat anda?
• Adakah anda rasa bank tersebut boleh dipercayai atau boleh diharapkan?
• Adakah bank tersebut menawarkan perkhidmatan tambah nilai yang akan memudahkan anda dalam jangka masa panjang?

Pinjaman peribadi


>> Apa yang anda perlu tahu?

Mendapatkan tawaran terbaik pinjaman peribadi boleh jadi satu tugas yang memenatkan. Terdapat lebih daripada sepuluh bank yang menawarkan pinjaman peribadi di Malaysia.

Sebelum anda buat pilihan terbaik, di sini ada beberapa panduan perlu diberi perhatian.

Ciri kelayakan pinjaman
Banyak pinjaman peribadi mengenakan syarat kelayakan yang ketat. Untuk semak kelayakan pinjaman peribadi di Malaysia, berikut adalah antara syarat-syaratnya:
• Berumur melebihi 21 tahun (ini berbeza mengikut bank dan sesetengahnya menerima pemohon pinjaman yang berumur 18 tahun atau lebih)
• Warganegara Malaysia atau mempunyai status penduduk tetap (PR)
• Mempunyai akaun bank yang masih aktif
• Mempunyai pendapatan tetap/gaji, atau bekerja sendiri

Kadar faedah rata
Pada asasnya, kadar faedah rata ialah faedah yang dikenakan ke atas jumlah yang dipinjam sepanjang tempoh pinjaman.

Walaupun pengiraannya mudah, peminjam selalu tidak perasan bahawa melalui pengiraan kadar faedah rata, faedah sentiasa dikenakan berdasarkan jumlah pinjaman asal anda.

Oleh itu, tak kira berapa banyak jumlah yang anda bayar, peminjam masih perlu bayar faedah penuh seperti dikira pada permulaan pinjaman anda.

Satu contoh bagaimana kadar faedah rata dikira: Katakan anda ambil pinjaman sebanyak RM10,000 dengan kadar faedah rata 10 peratus setahun.

Bayaran faedah akan menjadi RM1,000 setiap tahun sehingga keseluruhan jumlah pinjaman diselesaikan/dibayar balik (iaitu kadar faedah sebanyak RM1,000 setiap tahun tanpa mengira baki pinjaman anda).

Yuran pembayaran balik awal
Sesetengah pemberi pinjaman mengenakan penalti terhadap peminjam yang ingin membayar sepenuhnya pinjaman peribadi mereka lebih awal dari tempoh yang dipersetujui. Ini kerana keadaan itu menyebabkan pemberi pinjaman gagal mendapat kadar faedah penuh yang akan didapati jika peminjam meneruskan pinjaman mengikut tempoh penuh.

Yuran melunaskan awal selalunya adalah peratusan (sekitar dua hingga tiga peratus) yang dikenakan ke atas baki pinjaman tertunggak pada masa itu.

Caj pembayaran lewat
Sekiranya anda gagal buat pembayaran balik pinjaman bulanan anda pada masa ditetapkan, anda mungkin dikenakan yuran bayaran lewat.

Di samping itu, dua perkara mungkin berlaku. Pertama, pemberi pinjaman ada hak untuk ambil tindakan undang-undang terhadap anda.

Kedua, bank boleh potong baki kredit daripada akaun bank anda (dengan syarat akaun bank yang sama) untuk mengimbangi jumlah yang anda terhutang dalam pinjaman anda.

Jika peminjam sudah mendapatkan pinjaman bercagar, bank boleh menarik balik aset yang ditetapkan sebagai cagaran.

Urus langsai hutang


>> Beban hutang mungkin akibat terlebih belanja, ditipu kawan, perbelanjaan pasangan

Selesai sesi temuramah dengan Ketua Komunikasi Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohamad Khalil Jamaldin di pejabatnya Isnin lalu, penulis terserempak dengan sepasang suami isteri di pintu masuk lif.

Sekali pandang, tidak ada yang aneh pada penampilan mereka. Berpakaian santai sama seperti pengunjung Maju Junction Mall yang lain.

Begitupun, si suami nampak tidak selesa. Pandangan matanya dibuang ke kiri dan kanan seolah-olah semua yang lalu memandangnya dari atas ke bawah.

Dalam sibuk berbual, Mohamad Khalil sempat menyapa mesra pasangan berkenaan dan bertanya hala tuju mereka.

Jawapan yang diberi pendek iaitu ‘Tingkat 8, AKPK’. Itupun dalam nada rendah seperti orang melakukan kesalahan besar.

Serentak itu Mohamad Khalil menepuk-nepuk bahu si suami. Bagus, pujinya bersungguh-sungguh. Terukir senyum manis pada raut kelar si isteri.

Barangkali malu bila niatnya ke AKPK diketahui orang lain. Apalagi masyarakat sendiri mudah membuat kesimpulan, kononnya yang datang mendapat khidmat menanggung hutang berjela.

Kata Mohamad Khalil, orang ramai tidak seharusnya malu kerana bukan semua yang datang ke agensi itu menanggung beban hutang akibat sikap boros sendiri.

“Tak usah malu untuk mendapatkan khidmat nasihat AKPK. Kita menawarkan bantuan percuma kepada semua individu yang memerlukannya.

“Majoriti pelanggan kami adalah individu berhutang, namun masing-masing ada kisah dan cerita tersendiri.

“Ada yang terlebih belanja, ada yang ditipu rakan, ada juga yang menangis kerana menanggung beban pasangan. Pokok pangkalnya, AKPK sedia membantu,” katanya.

Menyelak statistik terbaru, Mohamad Khalil berkata, sejak AKPK ditubuhkan pada 2006 hingga Januari lalu, seramai 252,256 individu telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling kewangan mereka.

“Daripada jumlah itu, seramai 102,385 individu dibantu menerusi Program Pengurusan Kredit (PPK).

“Hasilnya, 4,806 kes berjaya diselesaikan dengan jumlah hutang mencecah RM189.6 juta,” katanya.

Menurut Mohamad Khalil, faktor utama yang menyumbang kepada masalah hutang dalam kalangan masyarakat hari ini disebabkan tiada perancangan kewangan serta tidak tahu menguruskan perbelanjaan harian.

“Umpamanya, orang muda sekarang semua mahukan kereta. Mereka fikirkan bayaran bulanan kepada pihak bank, tapi lupa mengenai kos sampingan yang perlu ditanggung seperti petrol, bayaran latak kenderaan, tol, servis bulanan, cukai jalan dan insurans.

“Apabila kereta idaman berjaya dimiliki, barulah mereka rasa beban hutang hingga terpaksa mencari saluran kewangan lain untuk menampung perbelanjaan.

“Akibatnya, jumlah hutang meningkat dan mereka berdepan risiko muflis pada usia muda,” katanya.

Lain pula cerita yang didengar ketika penulis melewati kaunter pendaftaran AKPK.

Salah seorang kaunselor AKPK menyapa Mohamad Khalil sambil mengajukan beberapa pertanyaan berkaitan pelanggannya.

Kata kaunselor itu, pelanggannya adalah seorang wanita yang mempunyai seorang anak.

Ibu muda itu datang merujuk masalah hutang bernilai RM50,000 yang dipinjam daripada bank untuk menampung perbelanjaan kenduri kahwin kedua pihak beberapa tahun lalu.

Sedihnya, pinjaman itu dibuat sang isteri untuk meringankan beban suami, namun akhirnya jodoh terhenti di tengah jalan.

Perkahwinan yang dibina terlerai, rumah tangga hancur punah, janji yang diikat juga hilang ditelan angin.

Tambah pedih apabila bekas suami tidak mahu berkongsi beban dan meninggalkan wanita berkenaan terkapai-kapai menanggung hutang.

“Itulah realiti kehidupan hari ini. Bukan tidak boleh berhutang, tapi kena pandai mengurus dan merancang kewangan.

“Tidak wajar seorang suami atau ibu bapa membebankan isteri dan anak-anak dengan hutang. Setiap yang dipinjam itu perlu diselesaikan.

“Walaupun pinjaman dibuat diatas nama isteri, tapi biarlah suami dan bekas suami mengambil sikap tanggungjawab,” katanya.

Selain itu, Mohamad Khalil turut menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin supaya memeriksa kedudukan kewangan masing-masing bagi mengelak timbulnya konflik di kemudian hari.

“Kita bukan hendak menghalang niat pasangan berkahwin, tapi biarlah ketelusan dalam soal kedudukan kewangan itu ada kerana ia boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga,” katanya.

Individu yang masih malu untuk memulakan langkah ke AKPK boleh mencuba tutorial di Portal Pembelajaran Online AKPK di laman http://power.akpk.org.my

Pendidikan kewangan
Pendidikan kredit dan kewangan adalah jawapan bagi kebanyakan masalah kewangan masa kini. Inilah matlamat AKPK untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan pendidikan yang dirangka khas untuk membantu individu supaya mereka dapat mengawal kedudukan kewangan mereka.

Ia juga bagi mendapatkan ketenangan daripada penggunaan kredit yang bijak.

AKPK menyediakan bahan-bahan pendidikan kewangan mengenai penggunaan kredit yang wajar dan pengurusan wang asas selain tip-tip berkaitan penggunaan kredit secara berhemah.

Program pendidikan kewangan ini disasar kepada individu atau kumpulan melalui pelbagai aktiviti seperti sesi taklimat kepada agensi-agensi kerajaan, badan korporat, kolej dan universiti, pameran, bengkel dan seminar.

Matlamat AKPK ialah memastikan warga Malaysia berdaya tahan dan berhemah menguruskan kewangan mereka.

Jadual Kaunseling
Perkhidmatan kaunseling boleh didapati di semua cawangan AKPK setiap Isnin hingga Jumaat, kecuali cawangan Kota Bharu dan Kuala Terengganu (Ahad hingga Khamis) dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Bagi cawangan Kuala Lumpur, perkhidmatan kaunseling disediakan setiap hari Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang untuk individu yang membuat tempahan temujanji saja. Pejabat AKPK ditutup pada cuti umum.

Sila hubungi talian POWER! Infoline untuk maklumat lanjut.

Pengurusan Kredit
Kawal semual kehidupan dan bebanan kredit anda. Menerusi program pengurusan kredit, kaunselor AKPK bekerjasama dengan anda untuk menyediakan pelan pembayaran semula pinjaman secara peribadi melalui rundingan dengan penyedia perkhidmatan kewangan anda.

AKPK tidak menyediakan pinjaman atau pembiayaan kewangan.

Program pengurusan kredit ini disediakan untuk mereka yang memerlukan bantuan mengurus bebanan kredit dengan institusi kewangan yang dikawal selia Bank Negara.

Syarat diperlukan ialah anda mempunyai sumber pendapatan positif, jumlah pinjaman tidak melebihi RM2 juta dan tidak berada di bawah tindakan mahkamah atau diisytiharkan muflis.

Penyedia perkhidmatan kewangan terdiri daripada:
• Bank perdagangan
• Bank Islam
• Pengendali takaful
• Institusi kewangan pembangunan (dikawal selia Bank Negara)
• Pengeluar kad kredit

Berhemat Apabila Menggunakan Kad Kredit


Kad kredit digunakan secara meluas dalam kalangan pengguna pada masa ini. Malah, kebanyakan perniagaan dan institusi perbankan menggalakkan pengguna menggunakan kad kredit sebagai kemudahan pembayaran, terutamanya apabila berurus niaga secara atas talian. Untuk menggalakkan penggunaan kad kredit dalam usaha untuk mendapatkan pelanggan, kebanyakan institusi kewangan mengadakan pelbagai promosi dan memberikan mata ganjaran atau bonus.

Namun begitu, penggunaan kad kredit boleh memudaratkan jika pengguna tidak bijak mengawal perbelanjaannya. Kad kredit bukanlah suatu aset ataupun tanda kebanggaan seperti yang disangkakan. Setiap kali kad ini digunakan, seorang pengguna menjadi penghutang kerana wang yang digunakan bukannya wang mereka tetapi wang yang dipinjamkan oleh institusi kewangan.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) banyak menerima kes aduan daripada pengguna yang tidak mampu membayar balik pinjaman pihak bank ataupun hampir diisytiharkan bankrap. Dalam kebanyakan kes, pengadu memaklumkan bahawa jumlah hutang kad kreditnya dan caj yang dikenakan adalah tidak setimpal. Sebagai contoh, seorang pengadu hanya menggunakan kad kreditnya sebanyak RM4,000, tetapi disebabkan tidak membayar hutang pada masa yang ditetapkan, maka beliau dikenakan pelbagai penalti dan kadar faedah. Ini menyebabkan jumlah hutangnya semakin meningkat sehingga puluhan ribu. Pengguna adalah digalakkan untuk berurusan terus dengan institusi perbankan mereka untuk penjadualan atau penstrukturan pinjaman.

Walau bagaimanapun, jika penyelesaian tidak dapat dicapai, pengguna dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu menguruskan kewangannya. AKPK akan menstrukturkan semula semua hutang tersebut berdasarkan pendapatan bulanan, jumlah aset dan jumlah hutang mereka.

NCCC menyediakan saluran kepada pengguna untuk mendapatkan keadilan mengenai isu-isu dan masalah kewangan pengguna.

Tip NCCC kepada Pengguna
Sentiasa menjelaskan semua baki kad kredit tepat pada masanya.
Dengan hanya membuat bayaran minimum ke atas kad kredit, anda akan menanggung kadar faedah yang lebih tinggi (kesan faedah kompaun).
* Baca dan fahami semua terma dan syarat sebelum menggunakan kad kredit.
* Sentiasa menyemak butiran transaksi apabila menerima penyata bulanan kad kredit anda.

Ubah cara berbelanja dan gaya hidup


Untuk menghadapi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, pengguna perlu mengubah cara berbelanja dan gaya hidup ke arah kesederhanaan.

Kita perlu mengkaji semula corak perbelanjaan, selain berjimat-cermat bagi mengelakkan pembaziran, mewujudkan dana kecemasan dan mengelak daripada membuat pinjaman baharu.

Ini semua penting bagi kita dalam menghadapi kesan negatif yang tercetus daripada peningkatan kos sara hidup yang semakin meruncing.

Sehingga November lepas, seramai 244,517 rakyat Malaysia mendapatkan khidmat kaunseling dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan 40.7 peratus atau 99,347 orang daripada mereka terlibat dalam program pengurusan hutang.

Antara faktor utama masalah kewangan yang dihadapi mereka ialah kerana perancangan kewangan yang lemah iaitu sebanyak 22.9 peratus, kos perubatan yang tinggi (18.3%), kegagalan atau kelembapan dalam perniagaan (15.2%) dan hilang kawalan dan penggunaan kad kredit (11.1%).

Tidak sukar untuk kita mengawal perbelanjaan. Apa yang diperlukan ialah disiplin dan fokus perkara kecil seperti kurangkan makan di luar, tutup suis elektrik dan paip air dengan sempurna, menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah pendapatan serta berbelanja mengikut kemampuan.

Cara paling mudah ialah dengan mengadakan belanjawan dengan menyenaraikan pendapatan dan menolak setiap perbelanjaan yang perlu.

Melalui senarai belanjawan, pengguna dapat melihat kekurangan atau lebihan perbelanjaannya, sekali gus boleh menstruktur semula perbelanjaan dan mengubah perbelanjaan negatif kepada positif agar dapat membuat simpanan tambahan.

Lazimnya, kita sedar akan masalah yang dihadapi akibat situasi ini, namun jika kita hanya berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa tindakan, situasi ini boleh menjejaskan kehidupan peribadi termasuk masalah keluarga dan pekerjaan.

Kita perlu memanfaatkan perkhidmatan percuma yang ditawarkan oleh kerajaan seperti Pendidikan Kewangan, Kaunseling dan Nasihat tentang Pengurusan Kewangan dan Program Pengurusan Kredit.

Melalui perkhidmatan program-program ini, kita boleh mendapatkan khidmat percuma kaunseling dan nasihat berhubung belanjawan, pengurusan wang dan isu-isu kredit termasuk membantu diri membuat belanjawan bagi mengurus perbelanjaan.

Dengan ilmu yang dibekalkan oleh program-program berkenaan, kita akan dapat merancang perbelanjaan dengan lebih bijak dan efektif terutamanya ketika menghadapi kenaikan harga yang menyebabkan kos sara hidup yang tinggi.

Anda juga boleh cuba untuk melakukan perbelanjaan harian mengikut keutamaan. Ini boleh dilakukan dengan terlebih dahulu menyediakan senarai barangan daripada yang penting sehinggalah barangan tidak penting dan wajib.

Selain itu, anda juga perlu menetapkan had perbelanjaan untuk sesuatu pembelian bagi mengelakkan pembaziran dan perbelanjaan mengikut nafsu